global

Wartawan gay Arab Saudi ditahan di Australia

Oleh AFP

SYDNEY: Dua wartawan Arab Saudi yang mencari suaka di Australia selepas diancam kerana hubungan sejenis ditahan selama beberapa minggu di pusat tahanan imigresen, kata peguam, hari ini.

Menurut peguam Alison Battisson kepada AFP, pasangan itu tiba di Australia pada pertengahan Oktober menerusi visa pelancong tetapi ditahan pegawai kastam lapangan terbang selepas mengaku merancang mahu mendapatkan suaka negara itu.

“Australia sangat terkenal sebagai lokasi selamat untuk golongan LGBTI, mereka sangat terkejut dan tertekan,” katanya.

Salah seorang pasangan lelaki itu, yang bekerja di kementerian media Arab Saudi dan sering mengendalikan lawatan organisasi berita antarabangsa berkata, mereka ditahan pihak berkuasa selepas seorang pembangkang membocorkan dokumen sensitif kepada media asing.

“Saya diarah ke penjara di pinggir bandar Riyadh oleh pasukan keselamatan negara, selepas mereka menyedari saya mempunyai hubungan dengan pasangan sekarang, justeru saya harus berhenti bekerja dengan media asing,” katanya kepada ABC.

Homoseksual adalah haram di Arab Saudi dan pesalah boleh dihukum mati.

Menurut Battisson, kedua-dua lelaki berkenaan ditahan dalam bilik berasingan. Seorang menerima rawatan perubatan, manakala pasangannya ditempatkan bersama penjenayah yang disabitkan menunggu pengusiran.

Disiarkan pada: November 20, 2019 @ 5:27pm
d