global

Bantahan berdarah

Oleh Agensi

TEHERAN: Sekurang-kurangnya 106 maut termasuk anggota keselamatan dalam rusuhan di Iran yang tercetus sejak Jumaat lalu selepas kerajaan mengumumkan kenaikan harga petrol.

Amnesty International (Amnesty) yang memetik ‘laporan boleh dipercayai’ percaya angka kematian sebenar mungkin lebih tinggi, dengan beberapa laporan menyatakan sehingga seramai 200 terbunuh.

Bagaimanapun, tidak dipastikan sama ada mangsa yang terbunuh itu terjadi ketika bertempur dengan pihak berkuasa.

Iran pada Jumaat lalu mengumumkan pemandu dengan kad minyak perlu membayar 15,000 rial (RM1.80) untuk seliter minyak bagi 60 liter pertama sebulan.

Kad minyak yang pertama kali diperkenalkan pada 2007 itu adalah satu bentuk pembaharuan sistem subsidi dan untuk mengekang penyeludupan minyak.

Beberapa jam selepas pengumuman itu bantahan besar-besaran tercetus di bandar utama di Iran termasuk di Teheran, Sirjan, Abadan, Ahvaz, Bandar Abbas, Birjand, Gachsaran dan Khoramshahr.

Penunjuk perasaan dilaporkan membuat halangan di jalan raya, membakar tayar dan ada laporan seorang lelaki maut ketika cuba membakar depoh simpanan minyak.

Pihak berkuasa dilaporkan bertindak dengan menyekat capaian Internet dan menempatkan polis serta pasukan antirusuhan bagi membendung ketegangan.

Kerajaan juga mengancam untuk mengenakan hukuman berat terhadap penunjuk perasaan yang bertindak ganas.

Disiarkan pada: November 21, 2019 @ 10:42am
d