global

Jokowi pilih pegawai muda

Oleh Agensi

JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) melantik tujuh orang muda berusia 23 hingga 36 tahun sebagai pegawai pakar untuk memberi idea inovatif bagi membangunkan pelbagai sektor negara.

Jakarta Post melaporkan, antara yang dilantik adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat teknologi Ruangguru dan pengasas Adamas Belva Syah Devara, Amartha Fintech.

Turut dilantik adalah pengasas bersama SabangMerauke, Ayu Kartika Dewi; CEO Kitong Bisa, Billy Mambrasar; usahawan media sosial, Angkie Yudistia dan bekas pengerusi Pergerakan Pelajar Islam Indonesia, Aminuddin Maruf.

Pegawai paling muda adalah CEO syarikat Creativeprenuer, Putri Tanjung yang baru berusia 23 tahun.

“Saya terkejut dia berusia 23 tahun,” kata Jokowi ketika majlis ringkas memperkenalkan pegawai baru itu di sini hari ini.

Jokowi juga memuji Billy yang berasal dari Papua dan memiliki ijazah Master dari Universiti Oxford serta Angkie yang cacat pendengaran tetapi terkenal kerana memperjuangkan hak golongan pekak.

Katanya, pegawai muda itu akan berbincang dengannya mengenai pelbagai isu dan memberikan idea segar serta inovatif supaya kerajaan dapat mencari jalan baru untuk mencapai kemajuan.

“Mereka juga akan menjadi jambatan antara saya dan golongan muda,” katanya.

Disiarkan pada: November 21, 2019 @ 8:48pm
d