global

Pelancong mabuk diikat, dibelasah ganggu wanita

Oleh Agensi

NEW DELHI: Seorang pelancong Australia diikat pada tiang elektrik sebelum dibelasah separuh mati oleh penduduk kerana berkelakuan tidak senonoh dengan wanita ketika mabuk, baru-baru ini.

William K James, 35, dari Melbourne, menaiki bas ke Konanakoppa tetapi tiba di situ dalam keadaan mabuk dan mula berkelakuan tidak senonoh dengan beberapa wanita di situ, kata jurucakap polis Bagalkot, Superintendan Lokesh Jagalasar dipetik Daily Mail.

“Mangsa kemudian menyerang penduduk yang cuba menghalangnya mengganggu wanita berkenaan.

“Perbuatannya mencetuskan kemarahan mereka dan beberapa lelaki terus menahan dan mengikat mangsa pada tiang elektrik sebelum membelasahnya,” katanya.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi (waktu tempatan), Selasa lalu.

“Kami masih menyiasat kenapa mangsa turun dari bas di kampung itu kerana dia membeli tiket ke lokasi lain,” katanya.

Susulan itu, polis turut menahan beberapa suspek kejadian dan mangsa kini mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Bagalkot.

Disiarkan pada: November 22, 2019 @ 1:37pm
d