global

Dapat ijazah umur 9 tahun

Oleh AFP

AMSTERDAM: Kanak-kanak pintar berusia sembilan tahun bakal bergelar graduan termuda dunia apabila dijangka menerima ijazah sarjana muda kejuruteraan elektrik dari Universiti Teknologi Eindhoven, Belanda, bulan depan.

AFP melaporkan, Laurent Simons berjaya menamatkan pengajiannya dalam tempoh sembilan bulan berbanding tempoh biasa selama tiga tahun.

“Saya belajar di bidang kejuruteraan elektrik. Ia adalah mengenai mencipta litar dan sebagainya,” katanya.

Manakala pengarah program kejuruteraan elektrik di universiti itu, Sjoerd Hulshof berkata, dia hanya boleh menyifatkan kanak-kanak terbabit sebagai luar biasa.

“Kualiti yang dimilikinya adalah luar biasa. Dia adalah kanak-kanak paling cepat belajar yang pernah saya kami lihat. Dia bukan hanya pintar luar biasa tetapi sikapnya juga begitu baik,” katanya.

Simons dibesarkan oleh datuk dan neneknya sehingga awal tahun ini ketika ibu bapa, Alexander dan Lydia sibuk dengan tugas di Belanda.

Dia yang mula bersekolah pada usia empat tahun, berjaya menamatkan pendidikan sekolah rendah dalam tempoh satu setengah tahun.

Kanak-kanak terbabit hanya mengambil masa lima tahun untuk menghabiskan pendidikan peringkat rendah, menengah dan universiti.

Disiarkan pada: November 22, 2019 @ 10:50pm
d