global

Balasan dendam ibu terhadap perogol

Oleh Agensi

CAPE TOWN: Seorang ibu didakwa di sebuah mahkamah di Afrika Selatan selepas dia memotong kemaluan seorang lelaki yang disyaki merogol dan membunuh anak perempuannya yang berusia lima tahun.

Veronique Makwena, 23, didakwa atas tuduhan cubaan membunuh bersama kakak iparnya, Noxolo Maneli dan rakannya, Siyabonga Pakade.

Mereka menyerang lelaki itu selepas mayat anak perempuan Veronique, Chantelle ditemui mati di dalam sebuah tandas awam di Port Elizabeth pada Ogos.

Seorang lelaki berusia 20 tahun juga dikenali keluarga mangsa ditahan polis untuk ujian DNA, tetapi dibebaskan sementara menunggu keputusan berkenaan.

Tidak lama selepas itu, Veronique dan kakak iparnya serta seorang lagi rakannya berjumpa lelaki itu serta menuduhnya terbabit dalam pembunuhan berkenaan.

Tiga wanita itu kemudian memegang lelaki berkenaan sebelum memotong kemaluannya.

Lelaki itu segera dibawa ke hospital dan doktor berjaya menyambung semula alat sulitnya yang putus.

Kes itu bukan sahaja menjadi tumpuan di Afrika Selatan malah turut dilaporkan di seluruh dunia hingga Veronique mendapat simpati ramai pihak.

Peguam Fundile Matoto yang mewakili wanita itu secara percuma berkata, pihaknya tidak menafikan serangan itu berlaku tetapi mahu tuduhan yang lebih ringan dikenakan terhadapnya.

Disiarkan pada: November 23, 2019 @ 10:27am
d