global

Polis Russia rampas Alpha PVP

Oleh AFP

SAINT PETERSBURG: Polis Russia berjaya merampas sebanyak 2 tan dadah jenis Alpha PVP iaitu dadah perangsang sintetik yang mampu menyebabkan halusinasi serius.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Irina Volk, berkata polis turut menemui kira-kira 5.8 tan bahan mentah selepas menggeledah makmal haram di luar Tosno, sekitar 65 kilometer di luar Saint Petersburg.

Katanya, rampasan itu bernilai kira-kira 7 bilion ruble (RM 457 juta) dan polis sudah membuat tiga tangkapan.

Juga dikenali sebagai ‘flakka’, Alpha PVP adalah ubat murah yang popular sejak beberapa tahun kebelakangan ini menerusi penjualan di sesawang gelap.

Pengambilannya boleh mencetuskan hipertensi, denyutan jantung tidak teratur dan halusinasi.

Perisikan Russia berkata, pada awal bulan ini mereka berjaya membongkar rangkaian dadah berasaskan internet yang berpusat di 10 wilayah dan merampas pengeluaran kira-kira 650 juta rubel (RM42 juta), termasuk Alpha PVP.

Disiarkan pada: November 23, 2019 @ 1:31pm
d