global

3 polis Colombia maut dibom

Oleh Reuters

BOGOTA: Tiga anggota polis terbunuh dalam kejadian letupan bom semalam di sebuah balai polis di Colombia, selepas ribuan orang berkumpul dan mengadakan bantahan di Bogota.

Sumber polis memberitahu Reuters, 10 polis turut cedera dalam kejadian di bandar Santander de Quilichao di wilayah barat daya Cauca, yang dikenali sebagai lokasi panas pengedaran dadah dan keganasan.

Sumber itu tidak mengaitkan pengeboman itu dengan mana-mana kumpulan bersenjata.

Khamis lalu, tiga orang terbunuh ketika lebih 250,000 orang berarak dalam mogok kebangsaan untuk menyatakan rasa tidak puas hati dengan kerajaan Presiden Ivan Duque.

Walaupun perarakan mogok dibuat secara aman, seramai 98 orang ditahan manakala 122 orang awam dan 151 anggota pasukan keselamatan tercedera.

Disiarkan pada: November 23, 2019 @ 2:56pm
d