global

Politik si kaya

Oleh Agensi

WASHINGTON: Bilionair Michael Bloomberg akan membelanjakan AS$34 juta (RM141 juta) untuk membeli iklan anti-Presiden Donald Trump selama seminggu di 46 negeri.

Bloomberg, orang kesembilan terkaya di Amerika Syarikat (AS) yang juga mempertimbangkan bertanding sebagai calon Demokratik pada pilihan raya presiden tahun depan.

Kempen pengiklanan itu dijadualkan untuk hampir seluruh negara bermula esok dan diumumkan sehari selepas Bloomberg memfailkan dokumen untuk mewujudkan jawatankuasa kempen presiden, lapor Politico.

Jurucakapnya dipetik CNN berkata, kempen digital itu akan menyasarkan Arizona, Michigan, Pennsylvania serta Wisconsin mulai Jumaat hingga akhir musim pilihan pendahuluan. Bagaimanapun, Bloomberg sendiri tidak akan dilihat dalam iklan itu.

Daily Mail memetik Forbes berkata, harta Bloomberg bernilai AS$52 bilion (RM217 bilion) dan dilaporkan merancang membelanjakan sehingga AS$500 juta (RM2 bilion) untuk kempennya.

Pembelian iklan yang luar biasa banyak itu dianggap yang terbesar dibelanjakan dalam seminggu dalam sejarah politik AS, malah melebihi AS$30 juta (RM125 juta) oleh bekas Presiden Barack Obama untuk tempoh sama ketika kempen pilihan raya 2012.

Menurut pelbagai dokumen Suruhanjaya Komunikasi Kebangsaan, iklan Bloomberg itu merangkumi satu minit yang menyasarkan seorang calon lawan.

Bekas datuk bandar New York City itu merancang untuk menumpukan semua usaha kempennya bagi acara Super Tuesday pada 3 Mac depan, apabila 15 negeri mengadakan pilihan pendahuluan untuk melantik delegasi ke persidangan parti, atau bagi memilih calon pilihan raya utama.

Dengan kekayaannya, Bloomberg mampu melancarkan kempen serentak di semua 15 negeri itu berbanding calon lain yang pasti bankrap jika mencubanya.

Pembelian iklan awal berkenaan akan melihat pengiklanan di hampir semua negeri yang berjiran, kata firma Advertising Analytics.

Bagaimanapun, beberapa Demokrat yang terkenal kurang senang dengan pendekatan boros Bloomberg dalam kempen pilihan raya ini.

Senator Bernie Sanders, antara yang utama bagi calon presiden menyelar tindakan Bloomberg itu sebagai antidemokratik.

“Saya menyampah dengan pendekatan Bloomberg atau billionair lain yang menganggap mereka boleh memintasi proses politik dan membelanjakan puluhan juta dolar untuk membeli undian.

“Jika kamu tidak dapat membina sokongan akar umbi, kamu tidak patut bertanding untuk jawatan presiden,” katanya.

Susulan kritikan itu, Bloomberg pada minggu lalu berjanji untuk membelanjakan AS$100 juta (RM417 juta) bagi iklan digital yang menyasarkan Trump, selain AS$15 juta hingga AS$29 juta (RM63-RM83 juta) untuk mendaftarkan setengah juta pengundi.

Disiarkan pada: November 24, 2019 @ 6:01am
d