global

Doktor bimbang Julian Assange mati di penjara

Oleh AFP

LONDON: Lebih 60 doktor menulis surat terbuka yang diterbitkan hari ini menyuarakan kebimbangan mengenai kesihatan pengasas WikiLeaks, Julian Assange yang mungkin boleh menyebabkan dia mati di penjara di Britain.

AFP melaporkan, warga Australia berusia 48 tahun itu masih berusaha mempertahankan diri daripada diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) dari Britain atas dakwaan mengikut Akta Pengintipan yang boleh dipenjara hingga 175 tahun.

Assange menggunakan WikiLeaks untuk menerbitkan fail sulit tentera dan diplomatik pada 2010 mengenai kempen pengeboman AS di Afghanistan dan Iraq yang memalukan kerajaan AS.

Doktor terbabit dalam surat mereka kepada Setiausaha Dalam Negeri, Priti Patel, menggesa supaya Assange dipindahkan dari penjara Belmarsh di tenggara London ke sebuah hospital universiti.

“Kami menulis surat ini sebagai doktor perubatan untuk menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan mental dan fizikal Julian Assange,” kata doktor dalam surat 16 muka surat itu.

Disiarkan pada: November 25, 2019 @ 11:33am
d