global

Bayi 5 bulan tidur diterbangkan ribut

Oleh Agensi

KUPANG (INDONESIA): Seorang bayi cedera selepas diterbangkan angin sejauh 10 meter dari buaiannya dalam kejadian ribut di Kabupaten Kubang, Nusa Tenggara Timur, petang kelmarin.

Tribun News melaporkan, kejadian jam 2 petang itu berlaku ketika bayi berusia lima bulan, Raykal Tamonob nyenyak tidur di dalam buaian yang diikat pada tiang bumbung rumah.

Tidak lama kemudian, angin kencang disertai hujan lebat mencabut bumbung, sekali gus menerbangkan mangsa ke kawasan berhampiran.

Panik melihat kejadian itu, ibunya, Otilia Grasa Gomes mencari anaknya sebelum terdengar suara tangisan dan melihatnya terbaring di atas timbunan bumbung zink 30 minit kemudian.

“Saya tidak sangka keadaan angin terlalu kencang. Disangkakan ia hanya hujan biasa menyebabkan kami tidur tanpa perasaan bimbang. Lagipun saya biasa menidurkan bayi ketika sibuk bekerja,” katanya.

Manakala Kompas melaporkan, bayi terbabit dihantar ke hospital di Kota Kupang untuk mendapatkan rawatan dan diberi bantuan oksigen.

Bagaimanapun, Otilia berkata, dia bimbang dengan keadaan Raykal apabila kepalanya mungkin terhantuk pada objek keras.

Katanya, dia juga runsing kerana rumahnya ranap akibat kejadian itu dan masih menunggu tindakan lanjut pihak berkuasa tempatan.

“Saya tidak tahu bagaimana keadaan rumah dan ke mana ingin berteduh selepas ini. Hanya menunggu pihak berkuasa mengumpul maklumat untuk tindakan seterusnya,” katanya.

Disiarkan pada: November 26, 2019 @ 7:35am
d