global

3 maut dalam bencana banjir di Greece

Oleh AFP

ATHENS: Tiga maut selepas Greece dilanda ribut dan hujan lebat hingga mencetuskan bencana banjir serta tanah runtuh, kata pihak berkuasa.

AFP yang memetik jurucakap pengawal pantai kanan berkata, mayat dua mangsa ditemui selepas perahu layar mereka karam di Antirion berhampiran bandar Patras.

Manakala jabatan bomba pula berkata, seorang lagi mangsa iaitu wanita warga emas ditemui mati di rumahnya selepas banjir melanda kepulauan Rhodes.

Awal pagi semalam, perkhidmatan kereta api serta jalan raya di Kinetta turut terjejas akibat banjir dan tanah runtuh itu.

Angin kencang juga menyebabkan beberapa perkhidmatan feri menghubungkan ke kepulauan Cyclandes dari Rafina dan Lavrion terpaksa dibatalkan.

Disiarkan pada: November 26, 2019 @ 11:34am
d