global

Jung Joon-young dijel 6 tahun

Oleh AFP

SEOUL: Bintang K-pop, Jung Joon-young dipenjara enam tahun kerana kesalahan rogol dan mengedarkan video seks yang diambil tanpa kerelaan pasangannya.

Jung dan bekas anggota kumpulan FT Island, Choi Jong-hoon didapati bersalah bagi kesalahan rogol beramai-ramai membabitkan dua mangsa dan kejadian berbeza pada 2016.

Jung, 30, juga didapati bersalah secara berasingan merakam dirinya mengadakan seks dengan wanita tanpa pengetahuan mereka dan mengongsikan rakaman berkenaan tanpa keizinan mangsa.

Choi, 29, pula dipenjara lima tahun, lapor agensi berita Yonhap memetik Mahkamah Daerah Seoul Tengah.

Kedua-duanya tidak dapat menahan emosi dan menangis apabila mendengar keputusan mahkamah itu.

Jung mengongsikan video berkenaan di laman sembang telefon bimbit termasuk dengan rakan K-pop, Seungri dari kumpulan Bigbang, yang turut berdepan tuduhan judi dan skandal dadah.

Dalam keputusannya, mahkamah menolak dakwaan tertuduh bahawa seks diadakan secara suka rela.

“Jung dan Choi merogol bersama mangsa yang mabuk dan tidak berdaya melawan. Sukar memikirkan sejauh mana penderitaan dialami mangsa,” kata penghakiman berkenaan.

Menurutnya, tertuduh menganggap mangsa sekadar ‘objek seks’ untuk dipergunakan, seterusnya ‘hukuman berat perlu dikenakan untuk menggambarkan betapa serius kesalahan mereka.’

Disiarkan pada: November 29, 2019 @ 3:58pm
d