global

Presiden Suriname dipenjara 20 tahun

Oleh AFP

PARAMARIBO: Mahkamah tentera di Suriname menjatuhkan hukuman penjara selama 20 tahun ke atas Presiden Desi Bouterse semalam atas tuduhan membunuh saingan politik ketika bergelar diktator di Amerika Selatan sekitar 1980-an.

Menurut peguamnya, Irvin Kanhai, Bouterse, 74, sedang melakukan lawatan rasmi ke China dan akan memfailkan rayuan sebaik pulang pada minggu hadapan.

Mengetuai dua kali rampasan kuasa dan dilantik sebagai presiden selama dua penggal serta disabitkan mengedar dadah, Bouterse menguasai politik Suriname selepas mengambil alih dengan kuasa tentera pada 1980.

Penghakiman semalam, yang disampaikan oleh tiga anggota mahkamah diketuai Hakim Cynthia Valstein-Montor adalah berkaitan dengan hukuman mati ke atas 15 anggota rejim lawan pada Desember 1982.

Peristiwa ‘pembunuhan Disember’ itu menyaksikan hukuman mati dilaksanakan terhadap 13 orang awam dan dua pegawai tentera.

Bouterse selama ini menafikan pembabitannya dan berkata kesemua mangsa ditahan kerana merancang melakukan rampasan kuasa dengan bantuan Agensi Perisik Pusat (CIA) tetapi ditembak mati ketika cuba melarikan diri.

Disiarkan pada: November 30, 2019 @ 1:06pm
d