global

Polis, kartel bertempur lagi

Oleh Reuters

MEXICO CITY: Seramai 14 terbunuh, termasuk empat anggota polis dalam pertempuran terbaru antara pihak berkuasa Mexico dengan kartel dadah di pekan kecil Villa Union, Mexico, berhampiran sempadan Amerika Syarikat, kelmarin.

Polis bertempur dengan kumpulan lelaki bersenjata lengkap yang menaiki trak pikap di pekan yang terletak kira-kira 65 kilometer di barat daya bandar sempadan Piedras Negras.

Gabenor negeri Coahuila, Miguel Angel Riquelme, yang memberi kenyataan kepada media di depan bangunan pejabat datuk bandar Villa Union yang dipenuhi kesan tembakan, berkata, kumpulan penjahat itu datang dari negeri jiran, Tamaulipas.

Menurutnya, 10 anggota kartel terbunuh dengan tiga daripadanya ditembak mati oleh polis yang mengejar mereka selepas pertempuran yang menyebabkan empat polis terbunuh dan enam lagi cedera.

Rakaman video yang tersebar menunjukkan konvoi trak kartel bergerak di sekitar pekan berkenaan. Beberapa rakaman lagi menunjukkan kepulan asap.

“Pihak berkuasa mengenal pasti 14 kenderaan yang terbabit dalam serangan itu dan merampas lebih puluhan senjata api,” kata Riquelme.

Menurutnya, beberapa orang termasuk dari pejabat datuk bandar masih hilang dalam serangan itu.

Kejadian ganas itu berlaku beberapa hari selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, merancang memasukkan kartel dadah Mexico dalam senarai pertubuhan pengganas.

Amerika dan Mexico digemparkan dengan pembunuhan sembilan wanita dan kanak-kanak masyarakat Mormon yang memegang kerakyatan Amerika di utara Mexico oleh kartel dadah pada 4 November lalu.

Disiarkan pada: December 2, 2019 @ 12:19pm
d