global

Bapa tikam rakan sekelas anak dihukum mati

Oleh Agensi

BEIJING: Seorang bapa dihukum mati oleh mahkamah di Jiangxi, selepas didapati bersalah menikam budak lelaki berusia sembilan tahun di dalam kelas kerana membuli anak perempuannya.

Lelaki dikenali sebagai Wang itu, menikam kanak-kanak berkenaan lebih enam kali hingga mati, sehari selepas anaknya mengadu dibuli mangsa.

Jumaat lalu, mahkamah memutuskan Wang bersalah terhadap tuduhan membunuh dengan niat dan menjatuhkan hukuman mati.

Kejadian menyedihkan itu berlaku pada 10 Mei lalu di Sekolah Rendah Shangrao di Jiangxi.

Mahkamah diberitahu anak perempuan Wang dikenali sebagai He, mengadu dibuli oleh mangsa yang duduk di sebelah mejanya, dikenali sebagai Liu.

Wang kemudian menghantar mesej ancaman dalam kumpulan sembang media sosial yang disertai ibu bapa dan guru kelas anaknya.

Bagi menyelesaikan masalah itu, guru bersetuju memindahkan tempat duduk mereka.

Namun, keesokannya, Wang ke sekolah anaknya dan terus menyerang Liu dalam kelas dengan menikam dada, belakang, perut, kaki dan tangan mangsa beberapa kali.

Dia kemudiannya mencampak kanak-kanak itu keluar kelas.

Selepas serangan berkenaan, Wang berdiri di halaman sekolah sebelum ditangkap polis.

Disiarkan pada: December 2, 2019 @ 12:54pm
d