global

'Robin Hood' di Turki

Oleh Agensi

ISTANBUL: Seorang dermawan yang hanya menggelar dirinya ‘Robin Hood’ bermurah hati membayar hutang barang dapur atau meninggalkan sampul berisi wang tunai di pintu penduduk kejiranan miskin, di mana kadar bunuh diri dilaporkan meningkat akibat kos hidup yang semakin meruncing.

Penduduk Tuzla, daerah perkapalan di bahagian Asia bandar Istanbul gembira apabila mendapat tahu hutang mereka di beberapa kedai runcit dilangsaikan lelaki yang enggan mendedahkan identitinya.

Pemilik kedai, Coskun Yıilmaz memberitahu agensi berita Demirören: “Seorang lelaki datang dan meminta saya menunjukkan buku rekod hutang pelanggan. Ada empat pelanggan yang berhutang banyak dan saya memberitahunya di mana rumah mereka.

“Dia beredar untuk menemui mereka dan apabila datang semula membayar semua hutang mereka. Saya difahamkan, dia turut memberikan mereka sejumlah wang.

“Bagaimanapun, apabila saya bertanyakan namanya dia berkata, ‘Panggil saja saya Robin Hood.’”

Harga makanan dan sewa melonjak selepas mata wang lira Turki merudum pada 2018, lapor The Guardian.

‘Robin Hood’ sama dipercayai turut meninggalkan sampul berisi 1,000 lira (RM728) yang diselitkan di bawah pintu rumah keluarga miskin di kejiranan lain di sekitar Istanbul pada Mac lalu ketika kos makanan terlalu mahal.

Dia juga dipercayai membayar hutang barang dapur berjumlah 25,000 lira (RM18,200) pada Jun lalu sebagai hadiah Aidilfitri, malah Hurriyet melaporkan, lelaki itu menyedekahkan 50 lira (RM36) kepada pelajar.

Disiarkan pada: December 2, 2019 @ 9:47pm
d