global

Setengah juta sertai petisyen desak pembunuh rusa dihukum

Oleh Agensi

WASHINGTON: Satu petisyen yang ditandatangani lebih setengah juta orang dilancarkan bagi mendesak dua remaja dikenakan hukuman berat kerana membunuh seekor rusa dengan kejam.

Mail Online melaporkan, remaja itu memuat naik video di media sosial menunjukkan mereka menendang seekor rusa yang cedera sampai mati di hutan Pennsylvania, baru-baru ini

Mereka kemudiannya dengan kejam mencabut tanduk dan menyiat kulit haiwan itu di hutan Pennsylvania, baru-baru ini.

Remaja dikenali sebagai Cody Hetrick dan Alex Smith itu kemudian memuat naik video tidak berperikemanusiaan itu di aplikasi Snapchat, seterusnya mencetuskan kemarahan netizen.

Susulan itu, satu petisyen menggesa dua remaja berkenaan dijatuhkan hukuman berat dilancarkan di laman web change.org dan setakat ini sudah mengumpul lebih setengah juta tandatangan.

Dalam video itu, Hetrick dan Smith menendang muka seekor rusa hingga cedera tanpa berhenti sambil ketawa.

Apabila rusa itu mati, mereka mencabut salah satu tanduknya, malah turut menyiat kulitnya di hadapan kamera.

Sehingga kelmarin, petisyen itu sudah ditandatangani lebih setengah juta netizen yang menuntut remaja berkenaan didakwa dengan pertuduhan jenayah.

Setakat ini, pihak berkuasa belum membuat sebarang tangkapan, namun jurucakap Berita ABC berkata, pertuduhan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Disiarkan pada: December 6, 2019 @ 12:03pm
d