global

Hutang nyawa

Oleh Agensi

BEIJING: Seorang budak lelaki berusia 14 tahun menjadi wira selepas diturunkan ke dalam perigi sedalam 30 meter untuk menyelamatkan seorang budak perempuan yang terperangkap dan hampir mati di dalamnya.

Mail Online melaporkan budak perempuan berusia tiga tahun itu terjatuh ke dalam perigi konkrit berkenaan yang terletak di Hebi, wilayah Henan ketika berjalan dengan bapanya.

Dia terperangkap di pertengahan perigi itu dalam keadaan satu tangan ke atas dan satu lagi tersepit di bawah.

Pasukan penyelamat menurunkan tiub oksigen bagi mengelak kanak-kanak itu mati kelemasan.

Beberapa anggota penyelamat berusaha mencari jalan untuk menyelamat kanak-kanak itu kerana perigi itu terlalu sempit dan mustahil lelaki dewasa boleh masuk ke dalamnya.

Seorang anggota penyelamat, Wang Qingjun kemudian memberi cadangan anak lelakinya, Wang Minran yang berusia 14 tahun cukup kecil untuk melakukan kerja menyelamat berisiko itu.

Pada mulanya, pihak berkuasa enggan membenarkan operasi itu kerana Minran masih kanak-kanak tetapi bersetuju kerana tiada jalan lain untuk menyelamatkan mangsa.

Minran diberi latihan asas untuk mengikat tali pada tangan mangsa sebelum dia diturunkan ke dalam perigi itu dalam keadaan kepala ke bawah.

Pasukan penyelamat membuat enam cubaan sebelum akhirnya Minran berjaya sampai kepada kanak-kanak itu dan mengikat tangannya dengan tali.

Minran kemudian ditarik ke atas diikuti pula oleh kanak-kanak itu yang terus dibawa ke hospital dan mangsa dilaporkan tidak mengalami kecederaan serius.

Disiarkan pada: December 6, 2019 @ 12:10pm
d