global

Tangkapan pertama kes 'pondok haid'

Oleh AFP

KATHMANDU: Polis Nepal menahan abang ipar seorang wanita yang mati lemas dalam ‘pondok haid’ ketika dikurung di situ kerana datang bulan, dalam kes pertama dipercayai seumpamanya membabitkan amalan tradisional yang kini diharamkan mengikut undang-undang negara itu.

Kebanyakan masyarakat di Nepal menganggap wanita yang datang haid sebagai tidak suci, malah di tempat terpencil golongan itu dipaksa tidur dalam pondok jauh dari rumah mengikut amalan digelar ‘chhaupadi.’

Akibatnya, ramai wanita dalam keadaan itu mati sama ada kerana kelemasan akibat menghidu asap malah diserang haiwan atau dipatuk ular.

Dalam kes terbaru itu, Parbati Buda Rawat, 21, ditemui mati pada pagi Ahad lalu di Accham, barat Nepal, dalam pondok yang dipenuhi asap selepas menyalakan api untuk memanaskan badan.

Jurucakap polis tempatan, Janak Bahadur Shahi berkata, “Kami menahan abang ipar mangsa selepas mengesyaki dia memaksa wanita itu tidur dalam pondok chhaupadi. Saya percaya ini penangkapan pertama seumpamanya.”

Lelaki itu berdepan hukuman penjara tiga bulan dan denda 3,000 rupee (RM110) jika sabit kesalahan mengikut undang-undang yang baru diperkenalkan tahun lalu.

Kematian Parbati itu sekurang-kurangnya yang ketiga seumpamanya tahun ini. Dua lagi wanita dilaporkan maut akibat lemas dalam pondok dipenuhi asap di kawasan lain.

Susulan itu, aktivis, Radha Poudel berkata: “Memang sesuatu yang positif untuk polis bertindak proaktif seterusnya mengekang orang ramai mengikut adat itu, namun masih banyak perlu dilakukan untuk menghentikannya.”

Katanya, kebanyakan kematian tidak dilaporkan malah pihak berkuasa juga lebih bersimpati kepada anggota keluarga berbanding mangsa.

Disiarkan pada: December 6, 2019 @ 7:43pm
d