global

Netizen puji suami jadi 'kerusi'

Oleh Agensi

BEIJING: Tindakan seorang lelaki menyuruh isterinya yang sarat mengandung duduk di atas bahunya sementara menunggu giliran untuk berjumpa doktor di sebuah hospital di China mendapat pujian netizen.

Lelaki itu berbuat demikian selepas tiada orang mahu memberi tempat duduk mereka kepada isterinya yang keletihan disebabkan berdiri lama di luar bilik pemeriksaan.

Video pasangan itu dikongsi Polis Hegang di aplikasi Douyin pada Ahad lalu dan sudah ditonton lebih tujuh juta kali.

Ramai netizen memuji lelaki terbabit yang duduk di lantai bagi membolehkan isterinya duduk di atas bahunya sambil memegang susur di hadapannya.

Lelaki itu kemudian memberi sebotol air kepada isterinya, lapor Daily Mail.

Polis Hegang turut bersertakan status mengkritik individu di sekeliling yang kebanyakannya dilihat sibuk bermain telefon bimbit.

Segelintir netizen mendapati beberapa tempat duduk kosong tidak jauh dari bilik pemeriksaan dan berkata wanita itu boleh berehat di sana.

Namun, beberapa netizen berpendapat wanita terbabit mungkin bimbang tidak dapat dengar namanya dipanggil ataupun sukar berjalan kerana sarat.

Disiarkan pada: December 8, 2019 @ 12:10am
d