global

Risiko wabak virus Nipah masih tinggi

Oleh Reuters

London: Virus maut bawaan kelawar yang dikenali sebagai Nipah yang pernah merebak di Asia Selatan dan Asia Tenggara masih lagi berisiko tinggi mencetuskan wabak, kata pakar kesihatan dan jangkitan penyakit.

Virus yang dikenal pasti di Malaysia dan Singapura pada 1999 itu mencetuskan wabak dengan kadar kematian 40 peratus hingga 90 peratus.

Nipah juga merebak beribu-ribu kilometer hingga ke Bangladesh dan India, dan hingga kini tiada ubat atau vaksin untuk melawan virus itu.

“20 tahun sudah berlalu sejak penemuannya tetapi dunia masih belum bersedia sepenuhnya untuk menangani ancaman kesihatan global oleh virus Nipah ini,” kata Richard Hatchett.

Hatchett adalah ketua eksekutif Gabungan CEPI untuk Persediaan Inovasi Wabak yang menjadi penganjur bersama persidangan Nipah di Singapura pada minggu ini.

CEPI adalah kerjasama antara pakar penyakit, orang awam, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan organisasi awam yang cuba mempercepatkan pembangunan vaksin menentang penyakit baru dan tidak dikenali.

Antara sasarannya adalah Nipah, sejenis virus yang dibawa oleh beberapa jenis kelawar buah dan babi. Ia juga boleh dipindahkan secara langsung melalui individu dan juga makanan tercemar.

pix hiasan

Disiarkan pada: December 9, 2019 @ 10:44am
d