global

Paderi miang ambil kesempatan

Oleh Agensi

GEORGIA: Seorang paderi muda bersikap kurang ajar apabila menepuk punggung wartawan wanita yang membuat laporan secara langsung larian maraton, seterusnya diharamkan daripada menyertai acara larian pada masa hadapan.

Daily Mail melaporkan, dalam satu rakaman video, Tommy Callaway dari Georgia, dilihat berlari perlahan di belakang Alex Bozarjian dari stesen televisyen WSAV sebelum melakukan perbuatan memalukan itu semasa ‘Enmarket Savannah Bridge Run.’

Alex yang nyata amat terhina dengan perbuatan Callaway memuat naik video itu ke Twitter beserta keterangan: “Kepada lelaki yang menepuk punggung saya secara langsung TV pagi ini, anda mencabuli dan memalukan saya.

“Tiada wanita yang harus bersabar dengan kejadian seumpama ini di tempat kerja atau di mana sahaja!”

Video berkenaan menerima lebih 8 juta tontonan, menarik pengguna Twitter yang marah untuk mengesan pelaku berkenaan.

Callaway dikesan daripada nombor bib larian dan dikenali sebagai paderi sebuah gereja di Statesboro, menurut media sosial dan web MarathonInvestigation.

Disiarkan pada: December 10, 2019 @ 12:36pm
d