global

Bunuh 6 pesakit

Oleh Agensi

Prague: Lelaki yang menembak mati enam pesakit di sebuah hospital universiti di Ostrava, timur Czech, semalam, menembak dirinya selepas dua helikopter polis mengepung kenderaan dinaiki lelaki itu.

Sehingga kini polis belum dapat memastikan motif lelaki 42 itu melakukan serangan terbabit.

Stesen radio awam Czech melaporkan penyerang sebagai pekerja binaan daerah Opava berdekatan.

Majikannya, Ales Zygula, memberitahu stesen radio itu lelaki berkenaan ‘sakit teruk’ dan tiada siapa mahu merawatnya.

Lelaki berkenaan melepaskan tembakan jarak dekat dalam wad trauma Hospital Fakulti Ostrava menyebabkan empat lelaki dan dua wanita terbunuh. Tiga lagi cedera dengan dua daripadanya parah.

Perdana Menteri Czech, Andrej Babis, berkata beliau dimaklumkan mangsa berada dalam bilik menunggu wad trauma.

“Penyerang melepaskan tembakan dari jarak dekat, menyasar kepala dan leher mangsa,” katanya.

Lelaki itu kemudian melarikan diri menggunakan kereta Renault Laguna dan ratusan polis terbabit dalam operasi memburunya, termasuk menggunakan dua helikopter.

Ketua Polis Ostrava, Tomas Kuzel, berkata penyerang terbabit dikesan di sebuah kampung dekat Ostrava dan apabila dihampiri, dia menembak dirinya.

“Kami mengenal pasti penyerang melalui rakaman CCTV hospital dan menggerakkan dua helikopter bagi memburunya yang kemudian berjaya mengesan kereta terbabit.

“Apabila satu helikopter terbang rendah ke arah kereta itu, lelaki itu menembak kepalanya,” katanya.

Disiarkan pada: December 11, 2019 @ 7:46am
d