global

Nafi pembunuhan beramai-ramai

Oleh Reuters

The Hague: Ketika mempertahankan negaranya daripada tuduhan melakukan pembunuhan beramai-ramai, pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi mencabar sama ada kejadian di Rakhine itu boleh dikategorikan sebagai pembunuhan berama-ramai.

Bercakap di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di sini, semalam, Suu Kyi berkata, beberapa kejadian pembunuhan besar ketika perang Balkan pada 1990-an tidak dianggap pembunuhan beramai-ramai.

“Keadilan antarabangsa enggan menggunakan terma itu kerana niat sebenar memusnahkan kumpulan sasaran secara keseluruhan atau sebahagian, tidak wujud,” katanya.

Menurutnya, masalah di Rakhine, Myanmar, negeri yang majoriti penduduknya ialah etnik Islam Rohingya ‘sudah wujud sejak berabad lalu.’

Menurutnya, Gambia yang membawa tuduhan terhadap Myanmar itu ‘menggambarkan keadaan tidak lengkap dan mengelirukan mengenai keadaan sebenar di Rakhine’.

Suu Kyi bagaimanapun, mengakui tentera Myanmar mungkin melakukan tindakan tidak wajar namun menegaskan konflik di Rakhine adalah ‘kompleks dan tidak mudah ditangani’.

Suu Kyi mendengar dengan teliti ketika peguam untuk Gambia menyampaikan testimoni mengerikan penderitaan Rohingya di tangan tentera Myanmar.

Gambar Suu Kyi bersama tiga jeneral yang tersenyum, Leftenan Jeneral Ye Aung, Leftenan Jeneral Sein Win dan Leftenan Jeneral Kyaw Swe juga ditunjukkan kepada mahkamah bagi membuktikan hubungan erat beliau dengan tentera.

Dalam prosiding tiga hari minggu ini, 17 hakim mendengar fasa pertama kes itu iaitu permohonan Gambia supaya Myanmar melindungi Rohingya hingga kes itu dibicarakan sepenuhnya.

Gambia memfailkan tuduhan terhadap Myanmar November lalu, mendakwa Myanmar melakukan pembunuhan secara sistematik melalui kempen digelar ‘operasi pembersihan’ mulai Ogos 2017 yang menyamai pembunuhan beramai-ramai.

Disiarkan pada: December 12, 2019 @ 1:07pm
d