global

Kawan hingga hujung nyawa

Oleh Agensi

CAPE TOWN: Kisah persahabatan antara anjing dan anak zirafah di sebuah pusat perlindungan haiwan di Afrika Selatan menyentuh hati apabila anjing itu menemani sahabatnya yang sakit hingga akhir hayat.

Daily Mail melaporkan, anak zirafah berusia sebulan itu dijaga di pusat perlindungan haiwan Rhino Orphanage, wilayah Limpopo selepas ditinggalkan ibunya di dalam hutan.

Zirafah yang dinamakan Jazz itu kemudian berkawan dengan seekor anjing dan sejak itu kedua-dua haiwan berkenaan sering bersama termasuk berkongsi tempat tidur.

Selepas beberapa minggu, Jazz mula menunjukkan tanda ia sakit sebelum mati Jumaat lalu.

“Dua hari sebelum kami kehilangannya, Jazz kelihatan sangat lemah dan sukar berdiri seperti tidak makan apa-apa.

“Dia kemudian pengsan dan kami boleh lihat darah keluar melalui mata,” kata Rhino Orphanage di laman Facebook mereka.

Menurutnya, anjing itu yang dikenali sebagai Hunter seperti mengetahui dan menemani Jazz hingga sahabatnya itu menghembuskan nafas terakhir.

Rhino Orphanage memberitahu, Hunter seperti amat merindui Jazz kerana duduk di depan kurungan sahabatnya itu selama berjam-jam.

Kisah dua sahabat itu dikongsi ribuan pengguna Facebook dan ramai yang melahirkan kesedihan serta memuji kesetiaan Hunter pada sahabatnya.

Disiarkan pada: December 12, 2019 @ 2:02pm
d