global

Tak hirau perintah berkurung

Oleh AFP

GUWAHATI: Polis India melepaskan tembakan hari ini, selepas ribuan penunjuk perasaan tidak menghiraukan larangan perintah berkurung di timur laut negara itu.

Menurut pegawai, seramai 20 hingga 30 orang cedera akibat demonstrasi sementara beberapa kenderaan dibakar.

Bagi meleraikan rusuhan, polis menembak gas pemedih mata dan ribuan polis tambahan ditempatkan di wilayah berkenaan.

Perdana Menteri, Narendra Modi berusaha menenangkan situasi dalam seruannya menerusi Twitter, namun penduduk di wilayah itu tidak mempedulikannya susulan Internet mudah alih sudah terputus di beberapa kawasan.

Rang Undang-undang Pindaan Kewarganegaraan yang diluluskan semalam, bertujuan mempercepatkan permohonan kerakyatan pendatang dari tiga negara jiran kecuali Muslim.

Bagi kumpulan Islam, pembangkang, kumpulan hak asasi dan lain-lain, inisiatif itu sesuai dengan agenda nasionalis Hindu Modi yang mahu mengasingkan 200 juta penduduk Muslim India, namun menafikannya.

Penduduk di timur laut India membantah atas sebab berbeza. Mereka bimbang jumlah besar pendatang Hindu dari Bangladesh yang disifatkan sebagai penceroboh membanjiri kawasan asal mereka.

Disiarkan pada: December 12, 2019 @ 4:34pm
d