global

60 wanita 'flash mob' tentang keganasan

Oleh AFP

TUNIS: Seramai 60 wanita Tunisia mengadakan ‘flash mob’ dengan lagu berjudul ‘The Rapist is You!’, koreografi Chile yang semakin mendapat tempat di seluruh dunia, di hadapan barisan anggota kerajaan negara itu semalam.

“Kami berada di sini menentang semua bentuk keganasan dari aspek sosial, institusi dan domestik,” kata seorang peserta, Shames Radouani.

Dilancarkan pada akhir November lalu di Chile oleh kumpulan feminis Las Tesis, lagu menentang keganasan itu digabungkan dengan tarian rancak sambil memakai penutup mata hitam dan skarf.

Kumpulan wanita itu membentuk satu barisan dan menyanyi lagu yang menentang gangguan seksual sambil menuding jari ke arah penonton.

Acara di Tunisia itu diadakan selepas ramai wanita dari negara Afrika Utara membuat aduan gangguan seksual di media sosial, menggunakan tanda pagar #EnaZeda.

Ia dicetuskan oleh satu video tular pada Oktober lalu, apabila seorang ahli parlimen yang baru dilantik melakukan onani di luar perkarangan sebuah sekolah. Video itu dirakam oleh seorang remaja perempuan.

Ketika perbuatan itu dirakam, Zouheir Makhlouf mendakwa dia menghidap kencing manis dan sedang membuang air ke dalam botol.

Dia kemudiannya dibebaskan selepas disiasat atas tuduhan gangguan seksual dan berkelakuan tidak sopan di kawasan awam.

Disiarkan pada: December 15, 2019 @ 12:02pm
d