global

14 terbunuh bas jatuh gaung

Oleh AFP

KATHMANDU: Sekurang-kurangnya, 14 orang terkorban selepas sebuah bas yang membawa penumpang terbabas dari lebuh raya dan terjunam ke dalam gaung di tengah Nepal, tengah hari tadi.

Menurut pegawai, ia adalah kemalangan jalan raya paling dahsyat di negara berkenaan.

Menurut polis, sebuah bas yang membawa 32 penumpang terjunam sejauh 70 meter di daerah Sindhupalchowk, sekitar 80 kilometer di utara-timur Kathmandu.

Pegawai polis, Prajwal Maharjan berkata, polis menemui 12 mayat susulan kemalangan itu manakala dua yang lain mati di hospital, katanya kepada AFP.

Empat mangsa yang mati disahkan kanak-kanak manakala 18 penumpang yang cedera dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Penumpang bas berkenaan dilaporkan dalam perjalanan pulang dari Kalinchowk Bhagawati iaitu sebuah kuil Hindu popular terletak hampir 4,000 meter di kawasan bukit di Dolakha, Nepal, kira-kira 140 kilometer ke timur Kathmandu.

Punca kemalangan belum diketahui, namun menurut polis jalan raya itu sendiri adalah faktor ia berlaku.

Disiarkan pada: December 15, 2019 @ 5:24pm
d