global

Tiga dekad cium paha

Oleh Agensi

BEIJING: Seorang lelaki yang hidup bengkok hampir tiga dekad akhirnya mampu berdiri tegak selepas menjalani pembedahan bagi meluruskan belakangnya.

Li Hua, dari wilayah Hunan Province dilaporkan hidup dengan muka ditekapkan ke paha sepanjang usia dewasa akibat ankylosing spondylitis yang bermula pada 1991 ketika dia berusia 18 tahun.

Menurut Daily Mail yang memetik media tempatan, Li, 46, akhirnya melengkapkan beberapa pembedahan berisiko tinggi tahun ini seterusnya membolehkannya berdiri tegak semula seperti orang normal buat kali pertama dalam 28 tahun.

Malah, doktor yang merawatnya meletakkan harapan dia mampu berdiri tanpa bantuan dalam hanya tiga bulan lagi.

Li yang mengalami kesukaran makan atau minum sebelum pembedahan itu, sebelum ini cuma setinggi 0.9 meter disebabkan keadaan badannya yang bongkok teruk.

Keadaannya semakin teruk sejak lima tahun lalu, dan pada Mei lalu keluarganya menemui ketua pakar ortopedik dan pembedahan tulang belakang di Hospital Universiti Shenzhen, Profesor Tao Huiren.

Menurut laporan, Profesor Tao pernah merawat pesakit lain seperti itu tetapi keadaan Li yang paling teruk pernah dilihatnya.

“Jika tidak kerana Dr Tao, tidak mungkin saya sembuh. Dialah penyelamat saya dan jasanya terlalu besar, hanya sedikit kurang berbanding jasa ibu saya,” kata Li.

Dalam pembedahan itu, tulang belakang serta tulang paha Li dipatahkan di beberapa bahagian sebelum diluruskan.

“Kami terpaksa mematahkan tulangnya bahagian demi bahagian bermula dengan tulang paha sebelum meluruskan rangkanya.

“Risikonya 20 hingga 30 kali lebih berbanding pesakit tulang belakang biasa, malah dia turut berisiko lebih tinggi lumpuh,” katanya.

Menurut laporan, pembedahan dilakukan dalam empat fasa. Rawatannya diibaratkan mendaki Gunung Everest, malah kali pertama seumpamanya di China.

Ankylosing spondylitis (AS) sejenis artritis yang dipercayai akibat kecacatan gen. Radang di dalam tulang belakang mengakibatkan belakang, rusuk serta tengkuk mengejang dan sakit.

Proses ini boleh menyebabkan setiap tulang dalam tulang belakang seseorang bersambung. Dalam sesetengah kes tulang belakang akan semakin membengkok.

Disiarkan pada: December 18, 2019 @ 9:10am
d