global

Ozil dipadam dari PES di China

Oleh AFP

SHANGHAI: Pemain tengah Arsenal, Mesut Ozil dipadam dari versi mudah alih China permainan Pro Evolution Soccer (PES), kata pengedar permainan dari China itu.

Syarikat internet Cina, NetEase, berkata ia membuang Ozil dari permainan berkenaan disebabkan komen melampau berkaitan China.

Tidak lama selepas itu, NetEase mengumumkan di akaun media sosialnya, bahawa komen Ozil ‘menyakiti hati peminat Cina dan melanggar semangat cinta dan keamanan sukan’.

“Kami tidak faham, menerima atau memaafkan komen berkenaan,” kata NetEase.

Ozil warga Jerman berketurunan Turki, mengutuk tindakan kejam China terhadap minoriti Muslim di wilayah barat Xinjiang menerusi Twitter pada Jumaat lalu malah turut mengkritik negara-negara Islam kerana gagal menyuarakan bantahan.

Sementara itu, kelab Jerman Bundesliga, FC Cologne tidak meneruskan perjanjiannya untuk menjalankan akademi bola sepak di China selepas melakukan penilaian semula dari segi sumber dan keutamaan.

“Kita tidak perlukan China dalam sukan kerana hak asasi manusia tidak dihormati secara terang-terangan di negara itu,” kata pegawai kanan yang juga bekas presiden kelab, Stefan Mueller-Roemer kepada akhbar tempatan Koelner Stadt-Anzeiger.

Disiarkan pada: December 19, 2019 @ 10:01pm
d