global

Seksa ketam masuk telinga

Oleh Agensi

SEORANG lelaki terpaksa menjalani pembedahan selepas seekor anak ketam merangkak masuk ke telinganya ketika dia sedang berjemur di tepi pantai di Abu Dhabi.

Lelaki berusia 38 itu yang hanya dikenali sebagai L E terpaksa melakukan endoskopi untuk mengeluarkan haiwan itu selepas berjemur di tepi pantai di Emiriah Arab Bersatu itu pada 18 November lalu, lapor Daily Mail.

“Saya sedang berjemur apabila tiba-tiba merasakan sesuatu masuk ke dalam telinga.

“Ketika itu saya tidak dapat membayangkan apa yang masuk ke telinga saya, tetapi memang ia merengsakan.

“Namun saya langsung tidak terfikir mungkin ketam masuk ke telinga,” katanya kepada Gulf News.

Menurutnya, rasa tidak selesa itu kemudian semakin menyakitkan menyebabkan dia tidak tahan lalu mendapat rawatan di hospital.

Dr Prabir Paul yang merawatnya berkata: “Rupanya anak ketam merangkak masuk ke telinganya.

“Akibatnya saluran telinga bengkak dan sempit menyebabkan haiwan itu terperangkap.”

Susulan itu, doktor memasukkan endoskop ke dalam telinganya untuk mengeluarkan anak ketam itu tanpa mengakibatkan kerosakan terhadap telinga pesakit.

“Mujur pesakit tidak mengalami kecederaan telinga,” kata Dr Paul.

Sementara itu, L E berkata, kejadian itu merisaukannya kerana bimbang telinganya rosak.

“Saya berterima kasih kerana doktor yang merawat begitu cekap. Keyakinan dan kesabarannya amat menenangkan saya,” katanya.

Awal tahun ini, seorang wanita di Vietnam turut dilaporkan sakit selepas lipas ditemui di dalam telinganya dengan video dikongsikan menunjukkan doktor menggunakan endoskop untuk mencari dan mengeluarkan serangga itu.

Pakar otologi Philip Robinson sebelum ini memberitahu Mail Online mengenai bahaya serangga atau haiwan memasuki telinga.

Katanya, bulu roma dan tahi telinga di dalam saluran organ itu bertindak menghalang serangga atau kotoran memasukinya.

“Telinga mempunyai sistem pembersihan sendiri yang sering dirosakkan apabila seseorang menggunakan putik kapas.

“Sebenarnya, telinga mengeluarkan sendiri sebarang kotoran yang terperangkap di dalamnya secara semula jadi dalam tempoh satu atau dua minggu,” katanya.

Disiarkan pada: December 21, 2019 @ 1:32pm
d