global

Akhirnya siasat

Oleh AFP

THE HAGUE: Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) akan membuka siasatan penuh terhadap jenayah perang di wilayah Palestin dalam keputusan yang mencetuskan kemarahan Israel serta kecaman Amerika Syarikat (AS).

Langkah ICC itu disambut gembira Palestin susulan siasatan awal hampir lima tahun oleh pendakwa sejak perang 2014 di Gaza.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata, keputusan mahkamah yang berasas di Israel itu sekadar ‘alat politik’ terhadap kerajaan Yahudi berkenaan. Israel enggan menyertai mahkamah itu sejak ia diwujudkan pada 2002.

Pendakwa ICC Fatou Bensouda berkata dalam satu kenyataan: “Saya berpuas hati ada asas wajar untuk meneruskan siasatan terhadap keadaan di Palestin.

“Secara ringkas, saya berpuas hati jenayah perang atau sedang berlaku di Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis Timur dan Semenanjung Gaza.”

Fatou bagaimanapun tidak menyatakan pelaku dalam jenayah itu.

Menurutnya, sebelum melaksanakan siasatan penuh, dia akan meminta ICC membuat keputusan berhubung wilayah di mana ia mempunyai bidang kuasa disebabkan ‘isu perundangan serta fakta unik dan dipertikaikan membabitkan situasi ini.’

“Secara khususnya saya mahu mendapat pengesahan bahawa ‘wilayah’ di mana mahkamah mampu melaksanakan bidang kuasanya, seterusnya membolehkan siasatan saya, merangkumi Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis Timur serta Gaza,” katanya.

Bagaimanapun Fatou berkata, dia tidak memerlukan kelulusan hakim untuk memulakan siasatan kerana ada rujukan daripada pihak Palestin, yang menyertai mahkamah berkenaan pada 2015.

Sementara itu, Setiausaha Negara AS Mike Pompeo berkata: “Kami dengan tegas menolak tindakan ini atau sebarang yang lain yang menyasarkan Israel secara tidak adil.

“Kami tidak percaya Palestin layak sebagai negara berdaulat seterusnya tidak layak memperoleh keahlian penuh, atau menyertai organisasi, entiti atau persidangan antarabangsa termasuk ICC sebagai sebuah kerajaan.”

Bekas penasihat keselamatan kebangsaan Rumah Putih, John Bolton tahun lalu pernah mengancam menahan hakim ICC jika mereka mengambil tindakan terhadap Israel atau AS.

Netanyahu turut menyelar keputusan itu sebagai ‘alat politik’ bagi menggugat kedaulatan kerajaan Israel.

Dua negara itu enggan menyertai mahkamah berkenaan yang diwujudkan pada 2002 sebagai tribunal global dunia untuk memerangi jenayah perang, jenayah terburuk serta jenayah terhadap kemanusiaan.

Fatou melancarkan siasatan awal pada Januari 2015 berhubung dakwaan jenayah perang serta terhadap kemanusiaan di Israel dan wilayah Palestin susulan perang Gaza 2014.

Siasatan penuh ICC mungkin membawa kepada tuduhan terhadap individu tertentu. ICC tidak boleh membawa tuduhan terhadap sebuah kerajaan.

Siasatan awal ICC membabitkan perang yang mengakibatkan 2,251 kematian di pihak Palestin yang rata-rata orang awam, berbanding 74 rakyat Israel, yang kebanyakannya askar.

Ia turut melihat pada keganasan berhampiran sempadan Israel-Gaza pada 2018.

Awal bulan ini, Fatou menolak mendakwa Israel berhubung serbuan terhadap flotila bantuan ke Gaza pada Mei 2010 yang mengakibatkan kematian sembilan rakyat Turki.

Disiarkan pada: December 22, 2019 @ 6:35am
d