global

16 terkorban akibat Taufan Phanfone

Oleh AFP

MANILA: Sekurang-kurangnya 16 orang terkorban, kata pihak berkuasa hari ini, selepas Taufan Phanfone melanda tengah Filipina ketika sambutan Krismas, membawa musim percutian yang menyedihkan dan menakutkan kepada jutaan penganut Katolik di negara itu.

Pegawai agensi bencana turut mengesahkan 16 orang terbunuh di tengah Filipina.

Puluhan ribu terkandas di pelabuhan yang ditutup atau di pusat pemindahan pada puncak musim perayaan, semalam sementara kediaman penduduk berhadapan hujan dan ribut.

Taufan itu meruntuhkan rumah, menumbangkan pokok besar dan menghancurkan beberapa bandar di rantau ini.

Walaupun lemah, Taufan Phanfone berada di laluan sama seperti Taufan Haiyan iaitu taufan paling dahsyat di negara ini yang mencatatkan lebih 7,300 kematian atau hilang pada 2013.

Menurut pegawai pertahanan awam, lebih 16,000 terpaksa bermalam di tempat perlindungan di beberapa sekolah, gimnasium dan bangunan kerajaan apabila taufan itu melanda negara semalam.

Lebih 25,000 penumpang masih terkandas di pelabuhan semalam manakala perkhidmatan feri masih ditutup, kata pengawal pantai.

Pejabat cuaca berkata, taufan itu membawa angin dengan kelajuan maksimum 195 kilometer sejam yang boleh menumbangkan pokok kecil dan memusnahkan rumah.

Disiarkan pada: December 26, 2019 @ 11:02am
d