global

'Santa Claus' rompak bank

Oleh Agensi

SEORANG lelaki tua yang berjanggut putih penuh seperti ‘Santa Claus’ merompak sebuah bank di Colorado sebelum mencampakkan wang dicuri itu ke arah orang ramai sambil menjerit Merry Christmas! (selamat hari Krismas) pada Isnin lalu.

David Wayne Oliver, 65, ditahan di sebuah kafe Starbucks apabila pergi ke situ sejurus merompak Academy Bank di Colorado Springs.

Menurut polis, dia mengancam pekerja bank kononnya mempunyai senjata sebelum melarikan diri dari situ dengan sejumlah wang yang tidak didedahkan jumlahnya, lapor Daily Mail.

Stesen televisyen KKTV memetik saksi Dion Pascale berkata, Oliver keluar dari bank itu sebelum mencampakkan wang ‘merata-rata.’

“Dia mula mengeluarkan wang dari beg dibawanya dan menjerit selamat hari Krismas,” katanya.

Menurutnya, beberapa orang mengambil wang itu dan memulangkannya kepada bank manakala Oliver berjalan ke Starbucks berhampiran dan duduk seolah-olah menunggu polis datang menangkapnya.

The Denver Post memetik polis berkata, ribuan dolar masih belum ditemui selain tiada bukti yang dia mempunyai senjata ketika kejadian itu.

Disiarkan pada: December 27, 2019 @ 8:51am
d