global

Berang dituduh bawa kereta 'bos'

Oleh Agensi

SEORANG pemilik kereta Lamborghini ditahan polis selepas dia melepaskan tembakan ke udara kerana berang apabila dua pelajar menuduh dia adalah pemandu peribadi majikannya.

CNN Indonesia melaporkan dalam kejadian pada Sabtu lalu itu, lelaki itu meletakkan kenderaannya di Jakarta Selatan sebelum dia dihampiri dua pelajar sekolah menengah.

Seorang pelajar itu kemudiannya berkata, “Wah, ini kereta bos.”

Kerana berang dengan gurauan pelajar itu, suspek mengeluarkan pistol dan mengajukannya ke arah remaja berkenaan sebelum dia melepaskan tiga das tembakan ke udara.

Pelajar itu yang ketakutan segera melarikan diri dan membuat laporan polis.

Jurucakap polis Metro Jakarta Selatan, Andi Sinjaya Ghalib berkata, susulan laporan itu polis menyerbu rumah lelaki berkenaan dan merampas dua pucuk pistol dan 22 peluru.

Siasatan lanjut juga mendapati kereta Lamborghini yang dipandu lelaki berkenaan menggunakan nombor pendaftaran kenderaan palsu.

“Kami mengesyaki kenderaan mewah ini adalah kereta sewa yang tidak dipulangkan suspek.

“Suspek kini ditangkap dan polis turut merampas senjata berkenaan serta kenderaan mewah itu,” katanya.

Disiarkan pada: December 27, 2019 @ 9:09am
d