global

Jackie sedia tebus kehampaan

Oleh Iskandar Shah Mohamed

JAGUH baling tukul besi kebangsaan, Jackie Wong mahu menebus kehampaan pada Sukan Sea Filipina untuk terus bangkit memecahkan rekod kebangsaan buat kali kedua tahun depan.

Atlet yang menghuni ranking nombor satu Asia Tenggara itu mengakui amat kecewa gagal mempertahankan pingat emas pada temasya dwitahunan berkenaan bulan ini.

“Sukan Sea kali ini memang dianggap sebagai mimpi buruk namun saya perlu segera melupakan detik hitam itu untuk mengekalkan prestasi.

“Ia bukannya penamat karier dan saya kini mahu memperbaiki rentak balingan pada tahap terbaik sekali gus mencatatkan satu lagi rekod baharu kebangsaan,” katanya kepada Arena Metro.

Dalam pada itu, Jackie turut terkilan apabila Kejohanan Dalam Dewan Asia di Hangzhou, China Februari depan tidak menawarkan acara baling tukul besi.

“Kejohanan seumpama itu sepatutnya menjadi peluang terbaik kepada saya untuk membuktikan namun terpaksa akur kerana acara tidak dipertandingkan.

“Namun, kemungkinan ada kejohanan tempatan pada Mac depan dan saya akan menyertainya untuk terus konsisten,” katanya yang akan kembali menjalani latihan bermula bulan depan.

Pada Sukan Sea Filipina, atlet berusia 27 tahun dari Sarawak itu sekadar meraih perak apabila tewas kepada atlet Thailand, Kittipong Boonmawan yang juga seteru utamanya sejak edisi Kuala Lumpur 2017.

Jackie hanya mencatatkan balingan 63.83 meter (m) dan jauh ketinggalan di belakang Kittipong yang memecahkan rekod temasya iaitu 67.56m.

Untuk rekod, atlet yang menduduki ranking ke-97 dunia itu memecahkan rekod kebangsaan dengan mencatatkan balingan sejauh 68.22 m pada Kejohanan Olahraga Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Ogos lalu.

Disiarkan pada: December 28, 2019 @ 8:04pm
d