global

Bunuh sambil lalu

Oleh Agensi

HOUSTON: Dua maut manakala tujuh lagi cedera dalam insiden tembakan ketika penggambaran klip video di Texas, Amerika Syarikat, kata pihak berkuasa kelmarin.

AFP melaporkan, kejadian berlaku pada lewat Jumaat apabila sekumpulan lelaki Hispanik berusia 20-an itu diserang sekitar jam 9.30 malam di tempat letak kereta perumahan di Houston.

Satu rakaman video yang dimuat naik di Twitter oleh wartawan Houston Chronicle menunjukkan kesan darah di tempat letak kereta manakala terdapat beberapa kesan tembakan pada beberapa kereta.

Daily Mail yang memetik Syerif daerah Harris, Ed Gonzalez berkata, mangsa ketika itu sibuk melakukan penggambaran di beberapa kenderaan sebelum dikejutkan dengan bunyi tembakan.

“Terdapat beberapa kenderaan di situ dan mereka melakukan penggambaran klip video sebelum diserang secara tiba-tiba.

“Kami percaya penyerang itu terdiri daripada sekumpulan lelaki yang sama ada berada di dalam kereta atau berjalan kaki dan melepaskan tembakan ke arah mangsa,” katanya pada sidang media.

Sehingga kini, polis masih belum menahan individu yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu dan mangsa juga belum dikenal pasti.

Pada masa sama, polis memperluaskan siasatan lokasi kejadian kepada beberapa blok dari tempat berkenaan.

“Kejadian ini amat serius apabila tembakan dilepaskan di sekitar kawasan perumahan.

“Kita memerlukan lebih banyak maklumat daripada orang ramai yang melihat kejadian ini untuk membantu siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: December 30, 2019 @ 9:36am
d