global

CEO Nissan lari ke Lubnan

Oleh Agensi

TOKYO: Kejadian bekas Ketua Pegawai Eksekutif Nissan, Carlos Ghosn berjaya meloloskan diri meninggalkan Jepun beberapa bulan sebelum perbicaraannya bukan saja memalukan Tokyo, malah menimbulkan persoalan bagaimana beliau melakukannya.

AFP melaporkan, bekas CEO Renault-Nissan berusia 65 tahun itu memegang pasport dan kerakyatan Brazil, Perancis dan Lubnan mengumumkan semalam, beliau kini berada di Lubnan.

Peguamnya mengesahkan ketiga-tiga pasport Ghosn itu masih dalam simpanan mahkamah sebagai jaminan ikat jaminnya menunggu perbicaraan bagi beberapa tuduhan kesalahan kewangan di Jepun.

Ghosn ketika mengesahkan beliau berada di Lubnan berkata, beliau enggan menjadi ‘tebusan’ oleh sistem keadilan Jepun.

“Saya kini berada di Lubnan dan tidak lagi menjadi tebusan oleh sistem keadilan Jepun yang seseorang itu dianggap bersalah, diskriminasi dan asas hak asasi manusia dinafikan

“Saya tidak melarikan diri daripada undang-undang, saya melepaskan diri daripada ketidakadilan dan pendakwaan kerana politik.

“Kini, saya bebas berhubung dengan media,” katanya dalam kenyataan.

Lubnan tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Jepun.

Media melaporkan seseorang seperti Ghosn tiba di lapangan terbang antarabangsa Beirut menggunakan nama lain melalui penerbangan jet persendirian.

Wall Street Journal melaporkan, Ghosn melarikan diri dari Jepun melalui Turki dan tiba di Lubnan Isnin lalu.

Ghosn ditahan di lapangan terbang Tokyo selepas jet peribadinya mendarat pada 19 November 2018. Beliau menghadapi empat tuduhan, termasuk menyembunyikan pendapatan dan mengkayakan dirinya melalui bayaran kepada pengedar di Timur Tengah.

Ghosn yang membantu Nissan daripada muflis, dibebaskan dengan ikat jamin AS$9 juta, yang tertinggi direkod di Jepun.

Sementara itu, Reuters melaporkan, Timbalan Menteri Ekonomi Perancis, Agnes Pannier-Runacher, berkata pihaknya ‘terkejut’ dengan berita itu namun menurutnya, Ghosn layak mendapat bantuan kosulat sebagai rakyat Perancis.

Disiarkan pada: January 1, 2020 @ 7:37am
d