global

Amerika hantar ratusan tentera ke Baghdad

Oleh AFP

BAGHDAD: Amerika Syarikat akan menghantar ratusan anggota tenteranya ke Timur Tengah selepas penunjuk perasaan menyerang kedutaan negara itu di Iraq.

Setiausaha Pertahanan, Mark Esper dalam satu kenyataan berkata kira-kira 750 anggota tentera dari Unit Payung Terjun ke-82 akan dihantar ke rantau itu dalam tempoh beberapa hari akan datang.

Dalam kejadian semalam, ratusan penunjuk perasaan pro-Iran menceroboh tempat pemeriksaan di Zon Hijau selepas 24 anggota tentera terbunuh dalam serangan udara dilancarkan Amerika Syarikat pada Ahad lalu.

Siaran langsung kejadian memaparkan penunjuk perasaan merempuh masuk pintu keselamatan bangunan kedutaan, memecahkan tingkap dan membakar pondok sentri.

Presiden Donald Trump menyalahkan Tehran di atas serangan kedutaan Amerika Syarikat dan mengecam akan mengenakan hukuman sekiranya terdapat rakyat negara itu terbunuh.

“Iran perlu bertanggungjawab terhadap kematian atau kerosakan yang berlaku di mana-mana kemudahan kami.

“Mereka akan berdepan akibat yang besar! Ini bukan amaran tetapi ugutan. Selamat Tahun Baru!,” tulis Trump di Twitter.

Disiarkan pada: January 1, 2020 @ 12:00pm
d