global

Illinois 'halalkan' ganja

Oleh AFP

WASHINGTON: Illinois menjadi negeri terbaharu di Amerika Syarikat yang melulus untuk penggunaan ganja untuk rekreasi, dengan gabenor memberi pengampunan kepada pesalah untuk kesalahan kecil membabitkan ganja.

Akta Cukai dan Kawalan Kanabis akan membenarkan penduduk berusia 21 tahun dan ke atas untuk membeli ganja dan akan membebaskan ribuan pesalah membabitkan ganja di negeri berkenaan.

“Kami memberi hak semula kepada puluhan ribu penduduk Illinois. Kami akan memperkenalkan peraturan dan keselamatan kepada pasaran yang dahulunya haram. Kami juga akan membuka industri baharu yang meletakkan ekuiti sebagai keutamaan,” kata Gobenor Illinois, J B Pritzke dalam satu kenyataan.

Pada malam Selasa, Pritzker memberi pengampunan kepada 11,017 pesalah untuk kesalahan kecil membabitkan ganja.

Berdasarkan kenyataan sama, undang-undang terbaharu itu akan membolehkan 25 peratus pendapatan daripada ganja untuk membantu komuniti yang terjejas teruk akibat usaha terdahulu bagi membanteras penggunaan dadah itu.

Penduduk Illinois berusia 21 dan ke atas kini dibenarkan untuk memiliki 30 gram (g) kanabis, lima gram kanabis pekat atau 500 miligram THC - bahan utama dalam produk yang mempunyai ganja.

Mereka yang bukan penduduk pula boleh membawa 15 gram ganja.

Illinois menjadi negeri ke-11 di Amerika Syarikat yang membenarkan penggunaan ganja untuk tujuan berkenaan, selain Washington DC. Sementara itu, 34 negeri dan ibu negara membenarkan kanabis untuk tujuan perubatan.

Disiarkan pada: January 2, 2020 @ 9:32am
d