global

48 jam untuk berpindah

Oleh AFP

SYDNEY: Ribuan pelancong diberi masa kurang 48 jam untuk berpindah susulan kebakaran hutan di timur Australia yang berlaku sejak semalam yang mengorbankan sekurang-kurangnya lapan nyawa.

Perkhidmatan Kebakaran Luar Bandar New South Wales (NSW) mengumumkan kawasan pada jarak 200 kilometer dari lokasi percutian popular Pantai Bateman dikategorikan sebagai 'zon sifar pelancong' selain penduduk diminta untuk mengosongkan kediaman.

Pelancong diberi amaran untuk meninggalkan kawasan terjejas sebelum Sabtu ini berikutan gelombang haba dijangka melanda negara itu dengan membawa angin kencang dan suhu meningkat mencecah 40 darjah celsius.

Ramai pelancong dan penduduk yang terperangkap menghabiskan dua malam tanpa bekalan elektrik dan komunikasi sebelum pihak berkuasa mengesahkan beberapa laluan selamat digunakan hari ini.

Menteri Pengangkutan NSW, Andrew Constance menganggap operasi menyelamatkan mangsa di kawasan terjejas sebagai 'paling besar di rantau itu' dan lebuh raya menghala Sydney sesak dengan ribuan kenderaan berikutan orang ramai mahu menyelamatkan diri.

Disiarkan pada: January 2, 2020 @ 11:41am
d