global

Perancis tidak akan ekstradisi Ghosn

Oleh AFP

PARIS: Perancis tidak akan mengekstradisi bekas Pengerusi Nissan, Carlos Ghosn yang dilaporkan melarikan diri dari Jepun bagi mengelakkan perbicaraan salah laku kewangan.

Ghosn yang memiliki kerakyatan Perancis tiba di negara ini pada Isnin lalu selepas ‘diseludup’ keluar menggunakan beg gitar double bass oleh sekumpulan pemuzik.

Menteri Ekonomi, Agnes Pannier-Runacher memaklumkan kepada saluran berita Perancis: “Perancis tidak akan mengekstradisi Ghosn kerana kami tidak pernah berbuat demikian terhadap rakyat sendiri.”

Bagaimanapun, katanya Ghosn tidak sepatutnya terlepas dari sistem perundangan Jepun.

“Tidak ada sesiapa yang boleh mengatasi undang-undang. Sekiranya dia tiba di Perancis dan Jepun mahu dia diekstradisi, kami akan berbuat demikian.

“Kita akan menggunakan undang-undang sama ke atas Ghosn, sama seperti orang awam lain,” katanya.

Ghosn yang juga sebelum ini Ketua Pegawai Eksekutif Renault ditahan di Jepun sejak November lalu atas tuduhan salah laku kewangan.

Dia juga disiasat di Perancis namun, sehingga kini belum didakwa atas mana-mana kesalahan jenayah di negara berkenaan.

Disiarkan pada: January 2, 2020 @ 8:47pm
d