global

Seludup budak dengan beg troli

Oleh Agensi

MADRID: Pasangan dari Maghribi ditahan selepas dipercayai cuba menyeludup kanak-kanak lelaki Palestin berusia 10 tahun memasuki Sepanyol.

Sky News melaporkan Polis Sepanyol menemui kanak-kanak berkenaan di dalam troli beli belah yang lazimnya digunakan untuk meletak sayuran dan buahan di sempadan Beni-Enzar dan Melilla, wilayah autonomi Sepanyol di utara Afrika, pada 31 Disember.

Foto daripada polis menunjukkan kanak-kanak itu meringkuk di dalam troli berkenaan.

Susulan kejadian, pasangan terbabit ditahan atas dakwaan penyeludupan manusia.

Difahamkan, budak berkenaan sudah dipulangkan kepada ibunya yang tinggal di kem migran berhampiran.

Melilla adalah lokasi popular untuk migran dan pelarian untuk ke Eropah kerana ia antara dua kawasan sempadan Kesatuan Eropah dan Afrika.

Satu lagi adalah, Ceuta, Sepanyol yang juga bersempadan dengan Maghribi.

Maghribi tidak mengiktiraf penguasaan Sepanyol terhadap Melilla.

Pada 2005, pagar sepanjang 11 kilometer dan setinggi tiga meter dibina, di sekeliling Melilla.

Disiarkan pada: January 3, 2020 @ 4:03pm
d