global

Hentikan peperangan, bukan memulakannya - Trump

Oleh BERNAMA

AMERIKA Syarikat (AS) membunuh komander tertinggi tentera elit Iran yang didakwa bertanggungjawab merancang operasi ketenteraan serantau Tehran adalah untuk ‘menghentikan’ peperangan, bukan memulakannya.

Presiden AS Donald Trump semalam menuduh Qasem Soleimani merancang ‘serangan ganas ke atas diplomat dan anggota tentera AS’.

Namun beliau tidak mengulas lanjut mengenai dakwaan terbabit, sebaliknya berkata, komander itu ‘tertangkap basah’.

“Apa yang AS lakukan semalam (Jumaat) sepatutnya dilakukan sejak dulu lagi. Banyak nyawa sepatutnya boleh diselamatkan,” lapor agensi berita Turki Anadolu yang memetik kenyataan Trump di kediamannya di sebuah resort di Florida merujuk kepada pembunuhan Soleimani.

Soleimani, ketua tentera elit Quds, Kor Pengawal Revolusi Iran terbunuh dalam serangan udara AS pada awal pagi Jumaat berhampiran lapangan terbang antarabangsa Baghdad.

Pembunuhan Soleimani menyebabkan ketegangan memuncak secara mendadak antara AS dan Iran, yang sering berlaku sejak Trump memilih untuk menarik diri daripada pakatan nuklear dengan Tehran pada 2018.

Pemimpin Agung Iran Ali Khamenei yang menganugerahkan bintang kebesaran tertinggi kepada Soleimani tahun lepas, berikrar untuk membalas dendam terhadap AS atas kematiannya.

Disiarkan pada: January 4, 2020 @ 3:00pm
d