global

Bersih diri guna air banjir

Oleh Agensi

JAKARTA: Banjir yang melanda Jakarta sejak beberapa hari lalu kini menimbulkan kebimbangan berkaitan bekalan makanan dan air bersih.

AFP melaporkan, ada di antara mereka yang berlindung di pusat penempatan sementara terpaksa membersihkan diri menggunakan air banjir.

Menurut Trima Kanti dari tempat perlindungan di tepi barat Jakarta, mereka sangat memerlukan air bersih di sana.

“Kami membersihkan diri di gereja berhampiran tetapi masa yang ditetapkan adalah terhad kerana ia menggunakan penjana elektrik,” katanya.

Kementerian Kesihatan Indonesia berkata, ia mengerahkan 11,000 pekerja kesihatan dan tentera untuk mengedarkan ubat, pek kebersihan dan makanan bagi mencegah wabak bawaan air banjir seperti Hepatitis A, demam denggi selain jangkitan berkaitan bangkai haiwan.

Sementara itu, The Guardian melaporkan, agensi teknologi Indonesia menggunakan dua pesawat untuk menyembur sodium klorida di ruang udara Selat Sunda.

Ia bertujuan untuk pembenihan awan bagi mengelak bencana itu semakin serius.

Kini, kira-kira 10,000 mangsa banjir masih mendapatkan perlindungan di pusat pemindahan sementara sekitar Jakarta susulan banjir pada sambutan tahun baru, Rabu lalu.

Jakarta kerap dilanda banjir pada musim hujan, yang bermula pada akhir November, namun bencana minggu ini adalah yang terburuk sejak 2013.

Pakar perancang bandar berkata, bencana itu sebahagiannya disebabkan oleh hujan lebat tetapi masalah infrastruktur di bandar raya ini termasuk sistem perparitan tidak sempurna memburukkan lagi keadaan.

Sementara itu, beribu-ribu warga Indonesia masih gagal pulang ke kediaman masing-masing selepas Jakarta ditenggelami air sejak beberapa hari lalu yang turut mengorbankan sekurang-kurangnya 53 nyawa.

Disiarkan pada: January 5, 2020 @ 6:10am
d