global

AS kenal pasti 52 sasaran

Oleh AFP

WASHINGTON: Presiden Donald Trump memberi amaran keras bahawa Amerika Syarikat (AS) mengenal pasti 52 sasaran di Iran dan akan menyerangnya ‘dengan cepat dan kuat’, jika republik itu menyerang aset atau rakyat AS.

Dalam ciapan di Twitter yang mempertahankan tindakan AS melancarkan serangan yang membunuh jeneral tentera Iran di Iraq, Trump berkata, angka 52 adalah simbolik kepada jumlah rakyat AS yang ditahan sebagai tebusan di Kedutaan AS di Tehran, selama lebih setahun, bermula akhir 1979.

Presiden itu berkata, sebahagian daripada sasaran berkenaan adalah antara lokasi memiliki kepentingan termasuk kepada budaya negara berkenaan.

“AS tidak mahu apa-apa ancaman lagi,” katanya.

Sebelum ini, Iran mahu menuntut bela selepas serangan roket oleh AS di lapangan terbang antarabangsa di Baghdad, mengorbankan Komander kanan Iran, Qasem Soleimani dan timbalan ketua pasukan tentera Iraq Hashed Al Shaabi.

Dalam siri serangan balas, dua bom meletup di kawasan berdekatan dengan Kedutaan AS di Baghdad, pada Sabtu.

Pada masa sama, dua roket dilancarkan ke pangkalan udara Al-Balad, yang turut menempatkan tentera AS.

Tentera Iraq mengesahkan serangan di kedua-dua lokasi, tetapi memberitahu ia tidak menyebabkan kematian.

Sementara itu, laporan sebelum ini menyebut kedutaan Amerika Syarikat menggesa semua rakyatnya untuk meninggalkan Iraq serta-merta.

“Berdasarkan situasi tegang di Iraq dan rantau itu, Kedutaan AS menggesa rakyat Amerika untuk mematuhi Nasihat Perjalanan Januari 2020 dan meninggalkan Iraq serta-merta.

“Mereka perlu meninggalkan negara itu, jika boleh, menerusi pengangkutan udara atau menerusi ke negara lain melalui jalan darat,” kata kedutaan itu dalam satu kenyataan.

Disiarkan pada: January 5, 2020 @ 8:57am
d