global

Iran berduka

Oleh AFP

Tehran: Rakyat Iran membanjiri jalan di Tehran untuk memberi penghormatan terakhir kepada Komander kanan Iran, Qasem Soleimani yang terbunuh dalam serangan udara dilancarkan Amerika Syarikat.

Mereka berkumpul dengan membawa sepanduk ‘Kematian ke atas Amerika’ sambil menyanyi dalam perhimpunan jalanan besar-besaran sebaik mayat Soleimani tiba dari Iraq.

Agensi yang memetik laporan ISNA melaporkan, mereka membawa gambar ‘wira negara’ itu yang bertanggungjawab dalam perang Iran-Iraq pada 1980-1988 sebagai ketua operasi Timur Tengah.

Soleimani yang terbunuh bersama timbalan ketua pasukan tentera Iraq, Hashed Al Shaabi di Baghdad memaksa Iran menuntut bela selepas serangan roket oleh AS di lapangan terbang antarabangsa di Baghdad menyebabkan kematian kedua-dua pemimpin kanan itu.

Dalam siri serangan balas, dua bom meletup di kawasan berdekatan dengan Kedutaan AS di Baghdad, pada Sabtu.

Pada masa sama, dua roket dilancarkan ke pangkalan udara Al-Balad, yang turut menempatkan tentera AS.

Tentera Iraq mengesahkan serangan di kedua-dua lokasi, tetapi memberitahu ia tidak menyebabkan kematian.

Sementara itu, laporan sebelum ini menyebut kedutaan Amerika Syarikat menggesa semua rakyatnya untuk meninggalkan Iraq serta-merta.

Disiarkan pada: January 5, 2020 @ 4:13pm
d