global

Ken kini jadi Barbie

Oleh Agensi

London: Lelaki yang taasub menjalani pembedahan plastik untuk menjadi seperti patung Ken dengan kos lebih 500,000 pound sterling (kira-kira RM2.6 juta), kini menjadi transgender.

The Mirror melaporkan bahawa Rodrigo Alves, 36, yang berasal dari Brazil itu mengakui sudah menjalani hidup sebagai perempuan secara rahsia sejak tiga bulan lalu.

“Saya dikenali sebagai Ken tetapi naluri dalaman saya seperti Barbie,” katanya.

Rodrigo yang kini dikenali sebagai Roddy mengambil suntikan hormon untuk mendapatkan bentuk tubuh sebagai wanita.

“Saya sukakannya dan apa yang datang dengannya - pergi ke salun rambut dan melakukan rias kuku, kening dan bulu mata. Membeli gaun panjang, kasut tumit tinggi dan memakai pakaian dalam yang seksi,” katanya.

Dia mengakui pernah memakai pakaian ibunya, ketika dia tinggal di Brazil.

Dakwanya, ketika kecil, tubuhnya juga pernah memiliki payudara akibat penghasilan hormon estrogen yang lebih berbanding hormon lelaki.

Selain itu, dia pernah mendedahkan bahawa pernah menjadi mangsa buli dan seksual di sekolah, tetapi terlalu lemah untuk melawan.

Katanya, itu menjadi antara faktor untuk dia berjaya dalam hidup.

Dalam pada itu, Roddy memberitahu bahawa dia berhasrat untuk menjalani pembedahan untuk menjadikan tubuhnya lebih feminin, termasuk implan payudara, membuang halkum dan mengubah suai dagu.

Disiarkan pada: January 6, 2020 @ 9:21am
d