global

'Serang Iran lebih hebat' - Trump

Oleh AFP

Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berjanji akan menyerang lebih hebat jika Iran cuba untuk membalas dendam atas pembunuhan komander tentera, Qasem Soleimani dan menggandakan ancaman untuk mengebom tapak kebudayaan Iran.

“Jika mereka membalas dendam, akan ada tindakan lebih besar,” kata Trump kepada pemberita.

Trump ditemui di Air Force One dalam perjalanan pulang ke Washington selepas menghabiskan percutian di Florida turut menegaskan AS akan mengenakan ‘sekatan lebih besar’ ke atas Iraq selepas undian di parlimen memihak tentera AS berundur dari berpusat di negara itu .

Tindakan itu bagi menambah ketegangan di Timur Tengah selepas pembunuhan tokoh terpenting dalam kerajaan Iran, dalam serangan dron berhampiran lapangan terbang antarabangsa Baghdad.

Menerusi Twitter rasminya, Trump turut memaklumkan semua kenyataan media adalah pemberitahuan kepada Kongres AS akan bertindak dengan lebih keras jika Iran menyerang sebarang individu atau menjadikan rakyat negara itu sebagai sasaran.

“Notis undang-undang tidak diperlukan tetapi akan diberikan,” katanya menerusi Twitter.

Beliau bersuara selepas beberapa ahli politik serta pengamal undang-undang mengecam dan mengkritiknya kerana tidak memaklumkan kepada Kongres sebelum mengarahkan serangan dibuat ke atas Iran.

Serangan terbabit berlaku beberapa hari selepas perusuh yang menyokong gerakan militan Syiah menyerbu kedutaan AS di Iraq pada sambutan Ambang Tahun Baharu.

Beberapa ahli politik AS mempersoalkan apakah tindakan itu sudah diluluskan dan berkata, mereka tidak melihat keperluan mencukupi untuk serangan terbabit dilakukan.

Menurut Trump, serangan berkenaan dibuat kerana Soleimani mengarahkan rakyat AS di Asia Barat dijadikan sasaran serangan.

Sebelum itu, Iran mengeluarkan ganjaran berjumlah AS$80 juta (RM328 juta) untuk individu yang dapat membunuh Trump malah mengugut akan menyerang Rumah Putih.

Penganjur majlis pengebumian Soleimani turut menyeru semua rakyat Iran bagi menderma AS$1 (RM4.10) setiap seorang untuk mencukupkan jumlah AS$80 juta itu.

Disiarkan pada: January 6, 2020 @ 11:17am
d